Sunday, 15 December 2013

Jom bekerjasama bukan bersaing - Prof Muhaya AUCMS

Dalam kehidupan ini, baik dalam suasana kekeluargaan di rumah atau pekerjaan di sesebuah institusi atau pejabat, sikap bekerjasama amat diperlukan. Orang yang bekerja dengan konsep bekerjasama akan memikirkan apakah yang boleh diberikan olehnya kepada majikan atau organisasi bukan mengharapkan apakah atau berapa banyakkah yang boleh diperolehnya. Hentikan sikap tidak mahu memberi tetapi hanya hendak menerima.

Sangat memenatkan hidup dalam keadaan bersaing ini berbanding bekerjasama. Penat dan tertekan kerana sentiasa tidak berpuas hati dan hendak membuktikan kehebatan. Sebenarnya hakikat kehidupan ini, lagi kita hendak tunjuk kita bagus, kita hebat dan kita yang terbaik lagi orang tidak suka. Oleh itu belajarlah menghargai orang dan jangan membeza-bezakan pekerja-pekerja; pandang semua orang bagus serta puji jangan keji mereka. Selalu sebut kebaikan pekerja dan elakkan berlaku sekali pekerja membuat kesilapan diungkit-ungkit berulang kali hingga terhapus kebaikannya sepanjang dia bekerja dengan kita.

Apabila kita bekerja kita mesti tahu apakah tujuan kita bekerja. Kalau kita bekerja tanpa tujuan atau tujuan kita hanya untuk mencapai kepuasan manusia, kita akan penat, tertekan dan akan kecewa. Bagi mengelakkan kekecewaan ini amalkan tiga perkara. Pertama, amalkan sikap bekerjasama bukan bersaing. Kedua, jangan mengharapkan apa-apa balasan atau penghargaan. Ketiga, jangan berasa diri kita terlalu penting, kalau kita tidak ada semua perancangan kerja akan gagal, sebaliknya semua orang penting dan saling lengkap melengkapkan.

Orang yang tenang dan bahagia akan sentiasa bersyukur dan dia tentukan tujuan dia bekerja untuk mencari nafkah yang halal untuk keluarga dan mencari reda Allah, agar mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Bayangkan ada tiga orang pekerja yang membuat kerja yang sama dan situasi yang sama tetapi dalam emosi dan perasaan yang berbeza. Contohnya pekerja kontrak membina masjid. Pekerja pertama, banyak mengeluh kerana terasa panas dan penat dengan kerja yang berat. Pekerja kedua, dia bekerja dengan kesedaran dia bekerja dengan tujuan mencari rezeki untuk isteri dan anaknya di rumah, dan kerana memikirkan tanggungjawabnya kepada keluarganya, masih mampu tersenyum walaupun dia letih dengan kerja itu.

Pekerja ketiga, bekerja dengan kesedaran dia bekerja selain dengan tujuan untuk mencari rezeki untuk keluarga, dia juga sedar tujuan dia bekerja untuk mendapat reda Allah. Kerana masjid yang dibinanya itu tempat beribadah dan dia mengharapkan pahala sebagai amalan jariahnya, "pencen kubur" apabila dia meninggal dunia nanti.

Pekerja ketiga, dia bukan nampak keletihannya sahaja tetapi dia sudah nampak kebahagiaan yang bakal menanti, ertinya biarpun fizikalnya meletihkan tetapi rohnya kuat. Kita hendak hidup dengan hati yang bersih dan hanya orang yang bekerjasama yang berhati bersih. Tidak ada orang yang memberi tidak mendapat. Orang yang mencari kebahagiaan akan mendapat kebahagiaan.

Lapan cara mencari kebahagiaan dalam hidup. Pertama, tidak membiarkan situasi buruk melemahkan semangat diri. Kedua, bersemangat dengan setiap apa-apa yang kita lakukan. Ketiga, yakin alam ini menyeronokkan dan kita perlu memburu keseronokan itu dengan cara yang betul dan dalam reda Allah.

Keempat, sentiasa melihat kepada pengajaran di sebalik apa-apa yang berlaku. Kelima, tidak merungut dan mengeluh. Keenam, fikiran negatif tidak mempengaruhi diri. Ketujuh, sentiasa bersyukur. Kelapan, tertarik kepada perkara yang lebih hebat daripada diri sendiri bukan dengan tujuan untuk bersaing tetapi untuk menghargai orang lain dan mengakui kebesaran Allah. Tidak ada orang yang bersaing akan tenang dan bahagia.

Kita hanya akan lihat apa yang ada dalam diri kita. Apa yang kita percaya itu yang kita akan lihat dan dapat. Kalau kita banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang. Seterusnya, kalau kita percaya semua orang baik, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili.
Sumber - Utusan

1 comment:

  1. باݢوس سکالي توليسن سبݢيني.

    ReplyDelete